INTISARI KHUTBAH JDT
TARIKH : 16 Rabi'ul Akhir 1441 / 13 Disember 2019
TAJUK : Menyantuni Golongan Orang Kurang Upaya.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Fath ayat 17 yang bermaksud : Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksanya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
1- Bertaqwa kepada Allah SWT.
2- Islam adalah agama rahmat dan tidak menyisihkan golongan kurang upaya bahkan Islam meletakkan kedudukan sebagai insan istimewa.
3- Sesetengah masyarakat yang kurang menghormati dan melayani golongan kurang upaya serta menganggap satu bebanan yang perlu ditanggung adalah antara cabaran kepada golongan ini.
4- Islam menganjurkan agar layanan yang baik kepada sesama makhluk, apatah lagi kepada golongan yang lemah ini. Sebagai umat yang prihatin perlu melihat golongan ini adalah satu keistimewaan dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT.
5- Kehadiran mereka juga adalah penyebab seseorang memperolehi pahala yang besar kerana Islam mengajar manusia agar sentiasa memberi pertolongan mereka yang di dalam kesusahan termasuk golongan ini.
6- Peristiwa teguran Allah SWT kepada Baginda SAW yang memalingkan mukanya dari Abdullah bin Ummu Maktum RA yang cacat penglihatan kerana Baginda SAW ingin menumpukan perhatian berdakwah kepada ketua-ketua kaum Quraisy. Secara jelas bahawa seorang yang cacat penglihatan ini mahu membersihkan hatinya dengan pelajaran agama dari Nabi SAW sebagaimana firmanNya di dalam Surah ' Abasa ayat 1 hingga 11. Betapa Allah SWT sama-sekali memuliakan golongan lemah ini melalui teguran kepada RasulNya SAW.
7- Santunilah mereka dengan apa sahaja bantuan terutamanya jika mendekati dengan tujuan ingin mengetahui lebih mendalam perkara-perkara berkaitan agama.
8- Santunilah mereka juga dengan penuh adil dan permudahkanlah urusan mereka serta jangan sesekali mengambil kesempatan di atas kekurangan mereka dan janganlah melayan mereka secara sambil lewa sedangkan kita boleh melayani orang yang sempurna dengan baik. Kerana mereka berhak hidup seperti manusia biasa dan mempunyai hak sebagai hamba Allah di dunia ini.
9- Akhir khutbah minbar; ingatlah agar sentiasa bertanggungjawab dan membantu golongan ini dan mengamalkan sikap prihatin agar kebajikan dan hak mereka terpelihara. Dengan kelebihan yang kita miliki sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dapat membantu golongan ini dan moga Allah SWT menggolongkan kita ke dalam golongan hambaNya yang sentiasa berbuat kebaikan serta dapat memberikan manfaat buat orang lain. Waallahu'alam.
#Disediakan oleh Unit Khutbah & Tafsir, PMS-JAINJ
Ramai jemaah yang tidur semasa khatib membacakan khutbah
ReplyDeleteKhatib kena baca kuat sikit kot.
ReplyDelete