*INTISARI KHUTBAH JDT*
*TARIKH : 7 JAMADIL AWWAL 1441H / 3 JANUARI 2020*
*TAJUK : Tulisan Jawi Warisan Budaya Melayu Islam.*
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-'Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud : Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.
1- Bertaqwa kepada Allah SWT.
2- Kedatangan Islam ke alam melayu mengubah kehidupan masyarakat melayu dan turut mengubah kaedah penulisan masyarakat melayu.
3- Menurut Kamus Dewan, tulisan Jawi bermaksud huruf-huruf arab dengan beberapa tambahan huruf untuk menulis bahasa melayu menjadi budaya kepada bangsa melayu.
4- Sejarah tulisan Jawi wujud di tanah melayu sejak sekian lama. Di antara buktinya penemuan Batu Bersurat di Terengganu tahun 1303 Masihi bertuliskan Jawi yang menjelaskan sebahagian daripada undang-undang jenayah Islam ketika itu.
5- Ia berkembang pesat sejajar dengan penyebaran Islam dan dipandang tinggi sebagai gerbang kepada kefahaman serta penyebaran Islam yang juga menjadi punca utama kepada kebangkitan bahasa Melayu.
6- Ianya juga secara meluas digunakan oleh negeri-negeri kesultanan Melayu antaranya surat-menyurat, titah-perintah dan hukum perundangan seperti hukum Qanun Johor serta menjadi bahasa perantaraan seluruh lapisan masyarakat termasuk raja, bangsawan, ilmuan dan rakyat jelata serta menjadi lambang tradisi kebudayaan dan tamadun Melayu.
7- Pada masa kini, penggunaannya menjadi agak ganjil oleh generasi muda yang tidak tahu menulis dan membaca Jawi serta berasa malu untuk belajar Jawi, seolah-olah tulisan ini hanya untuk bidang pengajian Islam sahaja. Ada juga sebahagian masyarakat yang memandang rendah tulisan Jawi dan lebih selesa dengan tulisan Rumi.
8- Akibat kelemahan ini, maka lahirlah golongan tertentu yang mengambil kesempatan terhadap kelalaian orang Melayu dengan melakukan pelbagai usaha untuk menghapuskan penggunaan tulisan ini.
9- Mereka semakin berani memperlekeh dan menghina tulisan Jawi serta menganggap ianya tidak membawa manfaat apa-apa kepada masyarakat dan negara.
10- Bangsa Melayu amat bertuah kerana mempunyai tulisan Jawi yang merupakan tulisan asal hak milik orang Melayu dan adalah seni warisan budaya bangsa, peradaban Melayu dan Islam yang tidak ternilai harganyanya serta simbol kegemilangan tamadun Melayu. Ianya berkembang pesat di alam Melayu dan menjadi alat mencatat segala urusan pentadbiran, keagamaan, kesusteraan dan sebagainya.
11- Ia sangat penting kepada orang Melayu Islam dalam negara dan mempunyai kaitan yang penting terhadap kehidupan beragama dalam masyarakat Melayu.
12- Kebanyakan rujukan utama masyarakat Islam yang berasaskan Al-Quran, Al-Hadith dan kitab-kitab agama adalah tulisan Jawi serta penguasaannya boleh memudahkan seseorang mengetahui bacaan Al-Quran dan kitab-kitab agama.
13- Di negeri Johor, pebagai usaha telah dilakukan dalam memeliharanya dan boleh dilihat terhadap perkembangan pendidikan terutamanya dalam bidang agama kerana ia menjadi wasilah kepada pembelajaran agama di sekolah-sekolah agama negeri Johor sejak tahun 1885 lagi.
14- Al-Marhum Sultan Ibrahim Sultan yang dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor telah membuka peluang kepada anak-anak Johor untuk mendapat pendidikan agama secara percuma di sekolah agama dengan menggunakan tulisan Jawi. Tujuannya untuk kemajuan dalam tulisan Jawi dan kefahaman terhadap ajaran agama Islam itu sendiri.
15- Akhir khutbah; marilah mempertahankan dan mengukuhkan tulisan Jawi ini agar tidak terus pupus ditelan zaman. Berbanggalah dengan tulisan ini kerana ia adalah khazanah yang penting perlu dijaga, merupakan jati diri, budaya kepada pembinaan kekuatan umat Islam dirantau ini dan usahakanlah agar ilmu tulisan ini digunakan secara meluas dalam kehidupan dan kegiatan seharian serta bukan menjadikan ianya terhad kepada masa dan tempat tertentu. Waallahu'alam.
*#Disediakan oleh Unit Khutbah & Tafsir, PMS-JAINJ*
Comments
Post a Comment