Waktu Adalah Umur
Bismillah,
Dalam arus kehidupan moden ini, ramai antara kita yang terpesona dengan kilauan dunia. Kekayaan, kesenangan, dan kejayaan material sering menjadi matlamat utama, seolah-olah itulah puncak kebahagiaan yang kita dambakan.
Namun, sedarkah kita bahawa semua itu hanyalah ujian yang ramai manusia gagal menghadapinya dengan bijaksana?
Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan hiburan, perhiasan dan bermegah-megahan antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, kemudian menjadi hancur.
Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. (Surah Al-Kahfi, 18:46)
Kehidupan dunia hanyalah sementara dan penuh tipu daya. Kesenangan yang kita kejar boleh menjadi perangkap yang melalaikan kita daripada tujuan sebenar penciptaan kita di dunia ini, iaitu untuk beribadah kepada Allah dan meraih kebahagiaan abadi di akhirat.
Tak salah untuk kita kejar dunia. Cuma biarlah dalam keadaan urusan akhirat dijadikan ‘priority’ dalam kehidupan seharian. Mencari rezeki dan menikmati nikmat dunia adalah dibenarkan, malah dianjurkan. Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa matlamat akhir kita adalah kehidupan yang kekal di akhirat.
Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya, maka Allah akan cerai-beraikan urusannya, dan menjadikan kefakiran di antara kedua matanya, dan dunia tidak datang kepadanya kecuali apa yang telah ditetapkan baginya.
Dan barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai niatnya, maka Allah akan mengumpulkan urusannya, dan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan hina.(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Betapa pentingnya kita menjadikan akhirat sebagai matlamat utama. Dunia ini hanya persinggahan sementara. Apapun yang kita kejar di dunia, jika tidak didasari dengan niat yang ikhlas kerana Allah, ia akan menjadi sia-sia.
Kesimpulannya ,
Mari kita muhasabah diri. Apakah yang sebenarnya kita kejar dalam hidup ini? Apakah kita terlalu sibuk mengejar dunia sehingga melupakan persiapan untuk akhirat? Ingatlah, bahagia dunia yang tidak diiringi dengan keredaan Allah akan binasa di akhirat.
Jadikanlah urusan akhirat sebagai keutamaan, dan nescaya kehidupan dunia kita juga akan diberkati dan dipermudahkan. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan dengan seimbang, tidak terbuai oleh nikmat dunia, dan sentiasa ingat akan matlamat akhir kita di sisi Allah SWT.
🗨️ teruskan berselawat