Skip to main content

Ulasan Mantan Menteri Agama Tentang "penje


Bismillah,

Di bawah ini maq kongsikan penulisan mantan menteri dijabatan perdana menteri bahagian hal ehwal islam - Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengenai isu tabung haji & penjenamaan semula.


Maq memang hormati beliau ni sejak dulu hingga ke hari ini,inshaallah.Seorang yang berakhlaq baik dan ilmunya padu.


POLEMIK PENJENAMAAN SEMULA TABUNG HAJI


1. Tabung Haji (TH) lahir daripada ilham besar Profesor Diraja Ungku Aziz untuk menghimpunkan simpanan umat Islam di Malaysia, lalu dipayungi undang-undang agar urusan ibadah haji mereka terjamin. Sejak 1963, ia berdiri sebagai institusi kebanggaan negara yang menggabungkan urusan kewangan dengan roh ibadah. 


2. Penjenamaan semula adalah sebahagian usaha mengekalkan daya saing dan imej global. Kali terakhir penjenamaan dan penambahbaikan logo dilakukan ialah pada tahun 2009. Namun, apa pun bentuk perubahan, ia mesti berpaksikan kepada maruah agama dan keyakinan umat.


3. Semasa saya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antara agensi terawal yang berkunjung ke pejabat saya dan menawarkan bantuan untuk memperkukuh fungsi Tabung Haji ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) iaitu unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM). 


4. Saya melihat sinergi ini amat bermakna kerana TERAJU boleh membawa agenda besar pemerkasaan Bumiputera melalui lima teras utama: memperkukuh pelaburan strategik yang memberi pulangan mampan kepada pendeposit, membangunkan vendor dan usahawan Bumiputera dalam sektor logistik, makanan dan hospitaliti haji, menyediakan sokongan strategik bagi memastikan Tabung Haji kekal kompetitif dengan identiti Islamik yang kukuh, melahirkan lebih ramai teknokrat serta profesional dalam bidang kewangan Islam dan pengurusan risiko melalui pembangunan modal insan, serta menyelaraskan dasar agar naratif ekonomi Bumiputera selari dengan maqasid syariah.


5. Cadangan kerjasama awal ini memberi gambaran jelas bahawa pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan institusi Islam, dan Tabung Haji ialah antara lambang terpenting kepercayaan ummah yang mesti dipertahankan dan diperkasakan. Namun, perancangan itu tidak dapat diteruskan setelah berlakunya COVID-19 dan pertukaran Kerajaan.


6. Saya telah meneliti perbahasan di Parlimen, termasuk ulasan beberapa tokoh yang saya yakin, berpaksikan kepada hasrat untuk melihat kebaikan kepada Tabung Haji. Cuma, pendekatan sahaja yang membezakan.


7. Tabung Haji berdiri kerana kepercayaan lebih 9 juta pendeposit. Kelompok rakyat marhaen hinggalah mereka yang bergengsi,  menabung dengan doa agar suatu hari dapat ke Baitullah. Kepercayaan inilah modal terbesar Tabung Haji.


8. Maka setiap keputusan mesti memelihara sensitiviti majoriti para pendeposit dan wajar diimbangi dengan pertimbangan lain seperti menutup jalan fitnah (sadd al-zarā’i), menjaga maruah agama (ḥifẓ al-dīn), dan memastikan maslahat tidak bercanggah dengan nas syarak.


9. Sejarah Uthmaniyyah memperlihatkan bagaimana tenaga bukan Muslim daripada Eropah seperti Perancis, Hungary, dan Itali digunakan dalam bidang teknikal seperti pembuatan senjata, perkapalan dan pembangunan. Namun, semua itu berada di bawah kawalan ketat wazir, janissari dan birokrasi Muslim. Penglibatan mereka meluas namun terhad kepada perkara selain dasar dan imej Khilafah Uthmaniyyah. Jurutera asing membina meriam hanya mengikut arahan komander, percetakan huruf Arab pula hanya dibenarkan dengan fatwa Şeyhülislām, dan seni bina masjid kekal dipelopori arkitek Muslim seperti Mimar Sinan. Ini membuktikan bahawa kerjasama teknikal dibenarkan, tetapi urusan identiti dan imej agama tetap dipelihara oleh Muslim sendiri.


10. Dalam sistem pentadbiran Islam, kuasa tafwīḍ (delegasi dasar) hanya diberi kepada Muslim kerana melibatkan syiar dan arah pentadbiran, manakala kuasa tanfīdh (pelaksanaan teknikal) lebih terbuka untuk kerjasama, termasuk dengan bukan Muslim, sebagaimana pelantikan seorang Yahudi bernama Abdullah bin Uraiqit oleh Nabi Muhammad SAW sebagai penunjuk jalan ketika hijrah. Ini menunjukkan Islam meraikan kepakaran luar dalam hal teknikal, tetapi menjaga identiti dan dasar agama di tangan umat Islam.


11. Saya menyeru agar kita kembali kepada panduan syarak dan prinsip tadbir urus yang berteraskan integriti, demi memastikan Tabung Haji kekal unggul, diyakini, dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam. Tabung Haji juga adalah simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan para pendeposit. Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan. Maka, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji. 


Wallahua'lam.


DATO’ SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


Hasil salin tampal dari facebook rasmi Dato Seri Dr Zulkifli.

Popular posts from this blog

Kad kena telan mesin Atm

Rambut Gugur Ketika Ihram?

Susu Cair Ganti Santan

Iltiqa' Sakinain

Cara Tukar Nama Pada Geran Tanah Yang Pemiliknya Dah Meninggal

Pantai Perpat, Rengit, pantai semulajadi yang tenang

Tanjung Hill, Batu Pahat ,Johor

Keturunan Rasulullah ada di Batu Pahat

Doa Amalan Neelofa

Umrah nak beli cenderahati ? Tapi apa?