![]() |
kata nasihat |
Bismillah,
Sejak encik suami dah berhenti kerja dari awal tahun 2020 pada musim covid19 lalu. Diam tak diam dah nak masuk tahun ke 5 beliau jadi warga pencen.
Semalam ada seorang qariah surau bertanyakan satu lagi soalan kat encik suami,
"Man engkau dah lama tak kerja, bajet rumah tu cukup ke? Aku nak berhenti kerja bulan depan, umur pun dah nak 60 tapi aku takut kalau kalau bajet tak cukup je nanti..."
Allahhu... kesian pulak maq tentang kerisauannya tu. Keputusan berhenti kerja itu memang ujian. Ia ujian dunia. Bayangkan sejak bujang dah biasa kerja , tiba tiba kena berhenti dari kerja. Dan pastinya ini bermakna dia berhenti juga dari dapat gaji setiap bulan. Siapa je tak risau...
Okey jomlah maq kongsikan apa yang kami buat untuk kehidupan sebagai warga pencen yang tiada pendapatan lain.
Sebagai pekerja swasta,encik suami takda pencen dan takda hasil dari kebun.Kenapa? Kebun pun takda, macamana nak dapatkan hasilnya toh, haha. Its okeylah. Ini pun salah satu ujian dunia!
Usaha pertama kami sebelum encik suami berhenti kerja adalah yakin dengan keputusan, yakin dengan rezeki dari Allah dan kemudian kat bawah ni antara usaha lain kami.
LANGSAIKAN SEMUA HUTANG✅
Tahun 2020, kami hanya berbaki hutang rumah. Kami bayar habiskan semua sekali gus. Sebab baki pinjaman pun tinggal sikit je lagi masa tu. Kira punya kira, akhirnya semua pinjaman pun settle!
Bila anak takda lagi yang bersekolah, itu pun tanda korang dah lepas lagi satu tanggungjawab. Ok satu lagi masalah dah settle!
Kos persekolahan anak bongsu maq di Tingkatan 6 rasanya lebih rendah jika dibandingkan kos pembelajaran pelajar sekolah rendah dan menengah. Kadang maq rasa pelik bab ini. Tapi itulah realitinya.
Kenapa anak bongsu hanya masuk tingkatan 6? Hahaha katanya dia pun nak jugak bebaskan hidupnya dari hutang. Hashtag Anak bapak*
ADJUST PERBELANJAAN ✅
Sama ada duit banyak ke duit sikit ke makanan harian kami masih tetap kekal macam biasa. Tak perlulah menu ikan siakap 3 rasa hari hari, tak perlulah asam pedas kepala ikan merah tiap minggu.
2-3 minggu sekali makan sedap sedap itu memadai dah. Hari biasa kami makan apa ada je tapi alhamdulillah Allah maha pemberi rezeki.
Malah maq yang kena berpuasa sebab terlebih makan dan akibatnya tekanan darah naik. Guys, puasa itu ubat segala penyakit tau !
JANGAN BUAT HUTANG BARU✅
Contohnya beli kereta. Bila beli kereta baru nanti akan timbul hutang baru. Letih mat nak menanggung hutang. Kepala asik nak fikir cari duit je nanti. Lastly terpaksa kerja,kerja dan kerja. Guna je kereta yang sedia ada.
Yang penting rajin maintenance,inshaallah sampai je distinasi yang dituju asalkan dalam tangki ada minyak. Kereta buruk pun buruklah janji dah bebas dari hutang!
KENA ADA SIMPANAN✅
Sikit atau banyak memang kena ada simpanan. Korang buat je macam gaji. Jangan keluar ikut suka. Kena selaraskan berapa bajet keperluan bulanan rumah. Dan korang jangan terkejut kalau duit korang nanti akan beranak.
Alhamdulillah..
Setelah semua urusan diatas selesai dengan aman, maka bermulalah kehidupan encik suami sebagai warga pencen yang diiktiraf.
Badan masih sihat kok tak mau kerja?!?Adalah suara suara sumbang yang kami dengar,tapi itu kami tak ambil pusing. Apa pun spekulasi mereka tentang kami, kami tetap maafkan mereka.
Bagi encik suami,masa badan masih sihat,umur masih ada inilah beliau kena habiskan usianya untuk Allah. Sejak baligh hingga umur 55 tahun beliau dah habiskan usianya macam tu je. Semua untuk dunia. Kerjaya , rumahtangga dan keluarga. Alhamdulillah ,masih dilanjutkan usia untuk momen sekarang ni.
Kalau sebelum tu umurnya dihabiskan hanya untuk berkerja mencari rezeki demi keperluan keluarga memang dikira ibadah juga tapi ia tak sama bila dah " jatuh cinta " dengan kehidupan akan datang. Allah je yang maha mengetahui situasi tersebut.
Alhamdulillah,Banyak perubahan pada diri beliau.Waktu yang ada dihabiskan bersama qariah surau, bantu isteri dirumah,hantar dan ambil anak bongsu pergi dan balik kerja. Pergi berjemaah, join Kuliah dan join aktiviti fardhu kifayah. Dapat juga tambah kenalan dalam kejiranan. Memang itu pun yang di idam idamkan selama ini.
Paling best, secara peribadi, encik suami dapat kenal diri dia yang sebenarnya. Beliau sendiri cakap yang hidup tenang bila dah dekatkan diri dengan Allah. Semua hal rasa dipermudahkan.
Dan bila semalam sahabat beliau ajukan soalan ,
"cukup ke bajet bila dah lama tak bekerja?"
Ini jawapan beliau;
"Rezeki Allah tu luas.Engkau buatlah sesuatu dengan alasan kerana Allah, inshaallah semua akan berjalan lancar dan semua juga akan cukup.
Yang penting jangan berhutang dan jangan simpan hutang. Habiskan masa tua ni untuk bayar hutang kau dengan Allah.
Badan masih kuat dan sihat ini lah masa untuk beribadah dengan Allah. Nanti dah lemah, dah sakit dah susah nak berjalan,nak ke surau pun susah. Masa tu nak nyesal pun tak guna dah...
Lagi satu, jangan bazirkan masa dan duit untuk benda yang bukan keperluan. Umur dah saki baki ni bersyukur lah apa yang ada, tak payah nak berhabis untuk dunia. Sedekah walaupun sikit tapi konsisten. Dan sentiasa bersangka baik dengan takdir..."
Maq - terpegun dengan ayat beliau bercerita. Sejak join qariah surau, kemain pandai berkata kata suami aku ni.
Hidup lebih tenang bila bebas dari hutang, inshaallah. Ini cara kami habiskan usia senja kami.
Korang mungkin ada yang setuju dan mungkin ada jugak yang tak bersetuju. Takpa,maq paham.
Pendapat kita semua kan berbeza beza. Cuma nanti dipenghujungnya sahaja kita akan dikembalikan ditempat yang serupa. Masatu tiada beza apa pun antara kita. Pakaian pun tak mampu nak dibawa.Langsung tak pakai.
Apapun hanya doa yang baik baik buat semua.
Selawat terus ye kawan!